Dec 02, 2024 6PM
Malaysia sedia bantu Timor-Leste bangunkan industri halal untuk pertumbuhan global
Malaysia bersedia membantu Timor-Leste membangunkan industri halalnya dengan meneroka pasaran global yang bernilai lebih US$3 trilion (RM13.32 trilion).
Menurut kenyataan bersama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao ke Malaysia, kerjasama itu bertujuan memanfaatkan potensi yang besar, menggalakkan pertumbuhan bersama dan mengukuhkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
“Dalam meningkatkan lagi dan mempelbagaikan kerjasama ekonomi, kedua-dua pemimpin menggalakkan agensi perdagangan dan pelaburan Malaysia dan Timor-Leste untuk meneroka peluang perdagangan dan pelaburan di kedua-dua negara,” katanya.
Selain itu, kedua-dua pemimpin mengekalkan komitmen mereka untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin mengalu-alukan penubuhan Mekanisme Perundingan Dua Hala (BCM) yang akan diterajui di peringkat Pegawai Kanan dan menantikan mesyuarat pertamanya tidak lama lagi.
Xanana Gusmao berkata negara meraikan pencapaian penting seperti penubuhan mekanisme BCM dan perjanjian dalam bidang pendidikan, kesalinghubungan dan perdagangan yang membawa kepada hubungan lebih erat antara kedua-dua negara.
Malaysia bersedia membantu Timor-Leste membangunkan industri halalnya dengan meneroka pasaran global yang bernilai RM13.32 trilion
“Pada pertemuan dua hala hari ini, kami mengadakan perbincangan yang bermakna serta mengukuhkan persahabatan dan kerjasama yang berkekalan antara kedua-dua negara.
“Kami mengekalkan komitmen bersama kami untuk meningkatkan lagi hubungan berdasarkan kepercayaan dan visi untuk kemakmuran bersama,” katanya.
Menurut kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan penerbangan pertama dari Kuala Lumpur ke Dili pada suku pertama 2025 yang akan dikendalikan oleh Malindo Airways Sdn Bhd (Batik Air), yang akan memberi laluan kepada kerjasama dalam pelbagai sektor seperti pelancongan, perdagangan, pendidikan dan teknologi.
Kedua-dua pemimpin mengakui kepentingan hubungan antara Malaysia dan Timor-Leste, yang akan menjadi pemangkin untuk mempromosikan pelancongan dan mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat.
“Kami mengalu-alukan sokongan untuk meluluskan penerbangan terus pada awal tahun depan ke Dili dan AirAsia akan menyusul tidak lama lagi,” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama.
Dalam lawatan itu, kedua-dua pemimpin menyaksikan Pertukaran Nota mengenai Aturan Pengecualian Visa antara kedua-dua negara.
Pencapaian itu dijangka memenuhi satu daripada keperluan di bawah Pelan Hala Tuju untuk Keahlian Penuh Timor-Leste dalam ASEAN, menggalakkan sektor pelancongan dan meningkatkan pertukaran rakyat dengan rakyat antara Malaysia dan Timor-Leste.
Pengecualian tersebut terpakai kepada pemegang pasport diplomatik, rasmi atau perkhidmatan serta pasport biasa dari kedua-dua negara.
Xanana Gusmao tiba di Malaysia semalam untuk memulakan lawatan rasmi selama tiga hari dan merupakan lawatan pertamanya ke negara ini selepas memegang jawatan Perdana Menteri pada 1 Julai 2023.
- Bernama
Waktu Solat
27 Dec 2024
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:54